SEORANG remaja lelaki ditemukan lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus ketika mandi bersama rakannya di Sungai Langat berhampiran Kampung Rantau Panjang Batu 14, Hulu Langat, petang tadi.
Mangsa, Muhamad Arif Asyraf Zaiful Anuar, 14, ditemukan kira-kira dua kilometer dari lokasi dia dilaporkan tenggelam.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.57 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Hulu Langat digerakkan ke lokasi bersama sebuah jentera dan bot fiber untuk operasi mencari dan menyelamat.
“Siasatan awal mendapati mangsa bersama seorang rakannya pergi mandi di sungai berkenaan kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Ketika mandi di kawasan air paras leher, mangsa dipercayai dihanyutkan arus ke kawasan lebih dalam sebelum tenggelam,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mukhlis berkata, rakan mangsa kemudian pergi ke balai polis berhampiran untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Pasukan bomba tiba di lokasi pada jam 3.37 petang sebelum melakukan pencarian di permukaan air.
“Mangsa berjaya ditemukan pada jam 4.02 petang sebelum diserahkan kepada pihak polis,” katanya.
Menurut beliau, pegawai Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kemudian mengesahkan kematian mangsa di lokasi kejadian.
“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Ampang untuk tindakan lanjut,” ujarnya.


