SEORANG wanita warga emas sanggup menjual tanah miliknya sebelum kerugian RM50,692 selepas terjerat dengan sindiket pelaburan tidak wujud yang diiklankan menerusi Facebook.
Mangsa berusia 63 tahun itu dipercayai diperdaya sindiket selepas tertarik dengan tawaran pelaburan saham yang menjanjikan keuntungan lumayan dalam tempoh singkat.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 12.12 tengah hari semalam di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu.
Menurutnya, pada 27 April lalu kira-kira jam 4.01 petang, mangsa yang berada di rumah melihat satu iklan pelaburan saham menerusi akaun Facebook menggunakan nama ‘Abang Helmey’.
“Mangsa yang berminat kemudian menekan pautan pada iklan itu sebelum disambungkan ke aplikasi WhatsApp.
“Mangsa seterusnya berhubung dengan individu dikenali sebagai Abang Helmey sebelum diminta berurusan dengan seorang kononnya Pengurus Pelaburan bernama Shahida,” katanya.
Azli berkata, mangsa kemudian diberi penerangan mengenai beberapa pakej pelaburan sebelum memilih pakej bermodalkan RM350 yang menjanjikan keuntungan dalam tempoh tiga hingga enam jam.
Katanya, mangsa membuat transaksi pertama sebanyak RM300 ke akaun diberikan suspek dan dimaklumkan keuntungan akan diterima pada hari sama.
“Mangsa kemudian diberitahu pelaburannya memperoleh keuntungan RM20,039, namun perlu membuat bayaran tambahan RM1,450 bagi membolehkan wang keuntungan itu dikeluarkan.
“Oleh kerana percaya, mangsa membuat enam lagi transaksi pemindahan wang keseluruhan RM50,392 ke dalam lima akaun berbeza bermula 27 April hingga 19 Mei lalu,” katanya.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari ditipu selepas masih diminta membuat pembayaran tambahan, namun tidak menerima sebarang keuntungan seperti dijanjikan.
Menurutnya, mangsa memaklumkan wang yang digunakan adalah simpanan peribadi selain terpaksa menjual tanah bagi membuat pembayaran kepada sindiket.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.


