TINDAKAN empat penganggur dipercayai mencuri kabel menggunakan dua kereta di Jalan Zahra 1, Semenyih membawa padah apabila mereka diberkas polis, semalam.
Penahanan tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 24 hingga 39 tahun itu dibuat susulan video kejadian berdurasi 41 saat yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 5.45 pagi.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian itu daripada seorang penduduk kawasan perumahan berhampiran lokasi kejadian pada jam 8.29 pagi semalam.
“Bertindak atas maklumat diterima, sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Kajang berjaya menahan tiga lelaki dan seorang perempuan di sekitar Batu 9 dan Batu 14, Hulu Langat.
“Turut dirampas dua kenderaan iaitu Honda Jazz putih dan Perodua Myvi biru yang dipercayai digunakan semasa kejadian selain beberapa bahan bukti lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Naazron berkata, semakan mendapati suspek pertama mempunyai 24 rekod jenayah dan 10 rekod narkotik, manakala suspek kedua memiliki 10 rekod jenayah serta empat rekod narkotik.
Katanya, suspek ketiga pula mempunyai lima rekod jenayah dan enam rekod narkotik sementara suspek wanita mempunyai tiga rekod narkotik.
“Kesemua suspek direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri,” katanya.
Beliau berkata, polis merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat sehingga membawa kepada penahanan suspek.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah diminta menghubungi talian MERS 999 atau Pusat Kawalan Daerah Kajang di talian 03-89114243.


