TENGKU Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, dalam tradisi Raja Berperlembagaan yang diamalkan negara ini “titah” adalah peringatan yang lahir daripada kebijaksanaan institusi Raja, dizahirkan demi kebaikan negeri dan rakyat keseluruhannya.
Beliau yang merupakan Penasihat Politik Kanan kepada Perdana Menteri menegaskan, titah raja bukanlah satu “decree” atau perintah seperti yang disalah tafsir oleh segelintir pemimpin politik.
‘’Oleh itu kata beliau titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin harus dilihat dalam semangat yang lebih luas iaitu memperkukuhkan perpaduan dan menyatukan masyarakat majmuk Malaysia dalam suasana dunia yang semakin mencabar dan tidak menentu.
‘’Apa yang dizahirkan Tuanku bukan sekadar mengenai perpaduan orang Melayu semata-mata, tetapi bagaimana kekuatan Melayu dan Islam itu sendiri perlu menjadi tiang seri kepada kestabilan negara yang turut melindungi kepentingan semua kaum dan agama,’’ katanya melalui hantaran dalam Facebook hari ini.
Tengku Zafrul berkata, sejarah tamadun Islam sendiri membuktikan bahawa kegemilangan sesuatu peradaban tidak dibina atas perpecahan atau kebencian, tetapi melalui kekuatan ilmu, keadilan, kestabilan dan kemampuan untuk merangkul kepelbagaian ragam.
‘’Kita juga harus memahami dan menginsafi hakikat bahawa dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia, memperjuangkan kepentingan sesuatu kaum tidak boleh dilakukan dengan meminggirkan kaum yang lain,’’ katanya.
Sehubungan itu, kata beliau, kekuatan sebenar sebuah negara bukan terletak pada siapa yang paling lantang, tetapi pada kemampuan rakyatnya untuk hidup bersama dalam suasana saling hormat menghormati dan mempercayai antara satu sama lain.
‘’Seperti titah Tuanku Sultan, kita harus mengambil iktibar daripada kegemilangan tamadun Islam Uthmaniyah, di mana kekuatan mereka lahir daripada kemampuan membina sebuah tamadun yang inklusif, stabil dan membuka ruang kepada masyarakat berbilang latar belakang untuk hidup serta menyumbang ke arah kejayaan dan kemakmuran bersama,’’ katanya.
Justeru, kata Tengku Zafrul, titah Tuanku Selangor harus dilihat sebagai seruan untuk merapatkan saf rakyat, memperkukuhkan keharmonian dan menjauhkan negeri serta negara daripada budaya politik yang memecah-belahkan masyarakat demi menjayakan agenda sempit.
‘’Janganlah ada segelintir pihak yang mengambil kesempatan mempolitikkan isu ini sehingga mengeruhkan hubungan antara pemimpin serta menjejaskan keharmonian rakyat di negeri Selangor,’’ katanya.
Beliau berkata, dalam keadaan dunia yang semakin tidak menentu hari ini dengan cabaran Krisis Tenaga dan Bekalan Global, Malaysia memerlukan politik yang matang, membina keyakinan rakyat dan menjamin kestabilan.
‘’Tumpuan berterusan harus diberikan kepada usaha memperkukuhkan institusi, mempererat perpaduan dan membina jambatan persefahaman antara kaum, bukannya meniup api perpecahan yang akhirnya membinasa dan memporak perandakan negara dan bangsa kita sendiri. Marilah kita terus berpegang teguh dan mengabdikan 5 Prinsip Rukunegara, sebagai panduan hidup masyarakat yang aman, harmoni dan berjaya,’’ katanya.


