TIGA lelaki maut manakala seorang wanita parah selepas kereta dinaiki mereka merempuh belakang sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala Kuala Lumpur berhampiran Kampung Sungai Chinchin di Gombak, Kuala Lumpur awal pagi ini.
Kemalangan membabitkan sebuah kereta jenis Volkswagen dinaiki kesemua empat mangsa itu yang dikatakan melanggar bahagian belakang sebuah lori simen.

Tiga mangsa lelaki yang maut ialah Afiq Jamal Abdul Nasir, 26, Ameer Ashraff Khairul Annuar, 24, dan Adli Hakim, 24, manakala seorang wanita penumpang di bahagian depan yang cedera parah ialah Athirah Najwa Mohd Tajul Ashikin, 27.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 2.07 pagi.

“Terdapat empat mangsa tersepit dalam kereta terbabit. Tiga mangsa lelaki berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Seorang wanita berusia 27 tahun pula mengalami kecederaan parah di kepala serta patah kaki kiri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, operasi melibatkan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selayang dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan Emergency Medical Rescue Services (EMRS),” katanya.
Ahmad Mukhlis berkata, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh anggota bertugas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan penumpang wanita yang parah kini menerima rawatan di Hospital Selayang.


