SEORANG pelajar perempuan tingkatan enam yang dalam perjalanan pulang maut selepas motosikal ditungganginya terlibat kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di Kampung Tengah, Sabak Bernam petang semalam.
Dalam kejadian jam 6 petang itu, mangsa berusia 19 tahun yang belajar di Kolej Tingkatan Enam Tunku Abdul Rahman Putra disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Md Yusof Ahmad berkata, kemalangan melibatkan dua motosikal jenis Honda RS150 dan Yamaha 135LC serta sebuah van jenis Ford Econovan.
“Kejadian apabila Honda RS150 melanggar bahagian belakang Yamaha 135LC yang ketika itu sedang memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang kiri jalan.
“Impak pelanggaran menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu memasuki laluan bertentangan dan bertembung dengan Ford Econovan,” katanya ketika dihubungi media hari ini.
Md Yusof berkata, penunggang motosikal kemudian terjatuh dan mengalami kecederaan parah di kepala sebelum disahkan maut.
“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Saksi kejadian diminta tampil menghubungi Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 017-664 5812 bagi membantu siasatan,” katanya.


