SIKAP ganasa tentera Israel di Gaza bagaikan tiada penghujungnya. Seperti diduga gencatan senjata ciptaan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump yang sebelum ini turut mendapat sokongan pemimpin-pemimpin negara Islam hanyalah lesen untuk rejim Zionis membunuh rakyat Palestin.
Terbaru, lima rakyat Palestin, termasuk seorang kanak-kanak, dibunuh dalam serangan Israel di seluruh Gaza sejak malam tadi ketika pengeboman Israel ke atas wilayah itu terus dipertingkatkan meskipun gencatan senjata masih berkuat kuasa.
Serangan tersebut termasuk pengeboman ke atas sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian serta sebuah rumah di kawasan kejiranan kediaman.

Sumber tempatan memaklumkan bahawa serangan Israel pada malam tadi menyasarkan sebuah rumah di kem Al-Maghazi di tengah Gaza dengan dua bedilan, mengorbankan seorang lelaki dan menyebabkan kerosakan pada rumah-rumah berhampiran di kawasan perumahan itu.
Awal pagi tadi, seorang kanak-kanak berusia 13 tahun terbunuh manakala beberapa lagi cedera di utara Gaza selepas sebuah dron Israel menggugurkan bom di kawasan berkenaan.
Kemudian, satu serangan Israel menyasarkan sebuah khemah yang menempatkan keluarga pelarian di Khan Younis, menyebabkan seorang terbunuh dan beberapa lagi cedera.
Seorang wanita berusia 26 tahun turut terbunuh akibat tembakan Israel menggunakan dron quadcopter di timur Deir al-Balah di tengah Gaza.
Seorang lagi rakyat Palestin terbunuh dalam serangan dron Israel yang menyasarkan sekumpulan penduduk di kawasan kejiranan Saftawi di Bandar Gaza.
Serangan Israel di wilayah yang musnah akibat perang itu dilaporkan meningkat meskipun gencatan senjata masih berjalan.
Israel didakwa melanggar perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak Oktober lebih 2,800 kali, selain membunuh ratusan penduduk dan menghalang kemasukan bantuan kemanusiaan yang amat diperlukan.
Pasukan Israel dilaporkan telah membunuh lebih 870 rakyat Palestin sejak gencatan senjata bermula, termasuk lebih 300 kanak-kanak, wanita dan warga emas.
Secara keseluruhan, lebih 72,700 rakyat Palestin terbunuh dalam serangan Israel sejak perang bermula pada 7 Oktober 2023.
Ketua Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Volker Türk, mengecam serangan terbaru Israel di Gaza dengan menyatakan bahawa “corak pembunuhan tanpa henti” itu mencerminkan “kekebalan menyeluruh” Israel.
“Rakyat Palestin terus dibunuh dan cedera di sisa rumah mereka, di pusat perlindungan dan khemah keluarga pelarian, di jalanan, dalam kenderaan, di kemudahan perubatan dan di dalam bilik darjah,” katanya.


