DUA ahli kumpulan Geng Shafik antara lima warga asing yang didakwa semalam dan minggu lalu atas kesalahan berkaitan penyeludupan migran mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007.
Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Zakaria Shaaban berkata, tiga daripada individu itu adalah warga Indonesia dengan seorang daripadanya dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban semalam manakala dua lagi di Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang pada Jumaat lalu bersama dua lagi warga Bangladesh.

Katanya, semua warga Indonesia itu adalah antara sejumlah individu yang ditahan hasil Operasi Khas Imigresen di sekitar Seremban, Negeri Sembilan dan Rawang, Selangor pada 7 Mei lalu.
“Pendakwaan dibuat mengikut ATIPSOM 2007 membabitkan peranan tertuduh sebagai transporter (pengangkut) serta penjaga rumah penampungan yang dipercayai menjadi sebahagian rangkaian sindiket penyeludupan migran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zakaria, seorang tertuduh yang berperanan sebagai transporter didakwa mengikut Seksyen 26J ATIPSOM 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun, atau denda tidak melebihi RM250,000, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Katanya, jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
“Mahkamah Sesyen Seremban memerintahkan kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Seremban. Tiada jaminan ditawarkan dan tertuduh diperintahkan untuk terus ditahan di penjara sehingga sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Zakaria memberitahu, dua lagi yang berperanan sebagai penjaga rumah penampungan pula didakwa mengikut Seksyen 26H akta sama atas kesalahan menyembunyikan atau melindungi migran yang diseludup.
“Mahkamah Sesyen Khas ATIP Klang turut memerintahkan kes mereka dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam dan tiada jaminan ditawarkan dengan kedua-dua tertuduh juga diperintahkan untuk ditahan di penjara sementara menunggu sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi,” katanya.
Zakaria berkata, bagi kes membabitkan warga Bangladesh, Mahkamah Sesyen Khas ATIP memerintahkan ia dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam tanpa jaminan ditawarkan selain turut diperintahkan ditahan dipenjara sementara menunggu sebutan semula kes di Mahkamah Tinggi.
Katanya, semua tertuduh antara individu yang ditahan hasil serbuan ke atas sebuah rumah di sekitar Petaling Jaya pada 7 Mei lalu, yang dipercayai dijadikan lokasi penampungan dan transit pendatang asing tanpa izin.
“Berdasarkan fakta kes, kedua-dua lelaki warga Bangladesh terbabit dipercayai bertindak sebagai penyelaras sindiket serta penjaga rumah transit sindiket Geng Shafik. Hasil pemeriksaan lanjut membawa kepada penahanan sembilan lagi warga Bangladesh yang dipercayai diseludup masuk ke Malaysia,” katanya.
Zakaria berkata, siasatan awal mendapati semua migran terbabit memasuki negara jiran kira-kira dua hari sebelum dibawa masuk secara haram ke negara ini melalui laluan di Kelantan, seterusnya dihantar ke sekitar Lembah Klang dan beberapa destinasi lain.
Katanya, kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26H Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 [Akta 670] dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan kerana melindungi sembilan migran yang diseludup di sebuah premis kediaman di Petaling Jaya.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.
Zakaria memberitahu, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dalam aktiviti penyeludupan migran dengan tindakan penguatkuasaan akan terus dipergiatkan bagi memastikan semua pelaku dibawa ke muka pengadilan.


