PRESIEN Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, tindakan Bersatu yang menolak hasrat untuk memperkukuh PN dengan menyekat keahlian parti-parti Melayu-Islam serta parti bukan Islam yang tidak ekstrem adalah sesuatu yang tidak menyenangkan.
Sehubungan itu kata beliau, Pas sedang mengkaji dan meneliti satu persatu percanggahan serta tindakan negatif yang dilakukan oleh rakan sekutunya itu.
Beliau berkata, Pas mahu memperbanyakkan lagi penyertaan komponen dalam gabungan tersebut demi memperkasakan agenda Melayu-Islam, namun langkah itu tidak dipersetujui pihak berkenaan.
“Hal-hal seperti ini akan kita kaji dan teliti satu persatu untuk melihat tindakan selanjutnya. Pilihan raya ini ada untung ruginya dan melibatkan soal sokongan kita.
“Kalau menjejaskan Perikatan Nasional dalam pilihan raya, maknanya kita tidak mengikut apa yang sepatutnya,” katanya pada sidang akhbar di kediamannya di Rusila, hari ini.
Neliau tidak menolak sebarang kemungkinan berhubung status keahlian Bersatu dalam gabungan itu menjelang PRU ke-16 (PRU16) nanti.
“Itu satu kemungkinan yang tidak boleh dijawab sekarang sebab ia belum berlaku. Biar ia berlaku dahulu. Dalam politik ini ada banyak kemungkinan. Cuma untuk masa hadapan, Bersatu tidak boleh lagi berbuat macam dahulu,” katanya.
Mengenai dakwaan bahawa Pas sudah dua kali ‘dipermainkan’ oleh Bersatu, Abdul Hadi berkata, Pas memilih untuk mengambil pendekatan bersabar, namun mengingatkan bahawa kesabaran itu ada hadnya.
Beliau turut mendedahkan realiti yang berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) dan Pilihan Raya Kecil (PRK) sebelum ini, yang mana Bersatu menuntut jumlah calon yang banyak namun tidak mempunyai jentera yang mencukupi untuk bekerja.
“Mereka ada calon, tetapi petugasnya terlampau sedikit berbanding jumlah keahlian yang didakwa beribu-ribu orang. Akhirnya apabila kita turun, yang bekerja di lapangan hanyalah ahli-ahli Pas sahaja. Itu realiti yang berlaku dan kita mengambil kira semua aspek ini,” katanya.
Beliau menegaskan Pas tidak akan tunduk kepada kemahuan Bersatu dalam isu berkenaan.
Ditanya sama ada kemelut terbaharu ini akan menjejaskan prestasi PN pada PRU akan datang, Ahli Parlimen Marang itu yakin kekuatan Pas tidak akan terjejas sama sekali dan parti itu sentiasa bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
“Saya rasa tidak menjejaskan Perikatan Nasional. Kita masih bertanding atas nama Perikatan Nasional dan Pas masih berada di dalamnya. Pas adalah penggerak utama Perikatan Nasional dan pimpinan ada hak untuk menentukan hala tuju dalam pilihan raya,” katanya.


