POLIS menahan reman dua lelaki bagi membantu siasatan kes letupan tong gas helium di tapak ekspo berhampiran Dataran Jam Besar, di Sungai Petani malam tadi yang mengakibatkan seorang lelaki maut dan tiga lagi cedera.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan berkata, suspek berusia 38 tahun yang juga peniaga direman empat hari bermula hari ini manakala seorang lagi lelaki berusia 18 tahun direman selama sehari.
“Siasatan mendapati kedua-duanya beralamat di Kuala Kedah dan tidak mempunyai rekod lampau jenayah. Mereka ditahan kerana sedang membancuh bahan kimia di lokasi, ” katanya dalam kenyataan hari ini.
Media semalam melaporkan seorang peniaga, Azmi Ahmad, 42, maut manakala tiga lagi cedera dipercayai akibat terkena serpihan tong gas helium yang meletup di tapak ekspo Dataran Jam Besar, Sungai Petani.
Polis menerima panggilan mengenai kejadian itu jam 7.53 malam daripada orang awam.
Mayat mangsa kemudian dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar untuk tindakan lanjut.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan, iaitu menyebabkan kematian seseorang dengan melakukan sebarang tindakan cuai.
Susulan kejadian itu, ekspo berkenaan yang dianjurkan dari 20 hingga 26 Mei ini ditutup sementara bagi memberi laluan kepada siasatan.
Terdahulu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, Timbalan Penguasa Bomba II Siti Norafiza Mohd Noh dilaporkan berkata, letupan itu membabitkan satu unit tong gas helium yang digunakan untuk mengisi belon kanak-kanak bagi tujuan perniagaan.


