TIMBALAN Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mencadangkan sistem politik negara berasaskan kaedah ‘First-Past-The-Post’ (FPTP) perlu dikaji semula supaya lebih adil kepada parti-parti politik.
Katanya, sudah sampai masanya sistem berasaskan peratusan sokongan atau ‘Proportional Representation’ (PR) atau Perwakilan Berkadar diberi perhatian dan dikaji pelaksanaannya.
Menurut beliau yang juga Timbalan Pengerusi Perikatah Nasional (PN), sistem PR meletakkan jumlah undi yang diperoleh parti sebagai asas kepada jumlah kerusi dalam Dewan Rakyat.
“Dalam sistem PR, jumlah kerusi yang diperoleh parti akan lebih hampir dengan peratus undi yang diterima. Contohnya, Parti A mendapat 40 peratus undi maka lebih kurang 40 peratus kerusi, manakala Parti B mendapat 30 peratus undi maka lebih kurang 30 peratus kerusi,” katanya kepada harakahdaily.
Kaedah FPTP ialah sistem pilihan raya di mana calon yang mendapat undi paling banyak akan menang — walaupun tidak mendapat lebih daripada 50% jumlah undi.
Beliau mengulas titah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang melalui perutusan khas sempen Aidiladha mengingatkan sistem pentadbiran Islam yang pernah menjadi dasar politik sejagat telah mewujudkan keadilan kepada semua kaum di negara ini malah di seluruh dunia.
Tuan Ibrahim yang merupakan Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata sistem PR berbeza dengan FPTP digunakan ketika ini kerana calon yang memperoleh undi paling tinggi di sesuatu kawasan akan terus menang walaupun tidak mencapai majoriti mutlak.
Katanya, keadaan itu membolehkan sesebuah parti memenangi banyak kerusi walaupun jumlah undi popular yang diterima lebih rendah.
‘’Sistem PR juga dilihat mampu mengelakkan persempadanan yang tidak adil selain mengurangkan beban tugas wakil rakyat tidak seimbang.


