PM beri jaminan bekalan tenaga negara mencukupi

DATUK Seri Anwar Ibrahim memberi jaminan bekalan tenaga negara mencukupi walaupun ketika ini berdepan kesan krisis bekalan tenaga global akibat konflik di Asia Barat.

Kenyataan Perdana Menteri itu mengulas isu bekalan tenaga negara yang dijangka hanya mencukupi sehingga Julai ini, dengan kerajaan sedang melaksanakan usaha, termasuk mendapatkan sumber tenaga dari luar negara.

“Insya-Allah, cukup,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 1,500 jemaah di Masjid Al-Muttaqin, Wangsa Maju, Kuala Lumpur hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof hari ini memaklumkan kerajaan sedang berusaha memastikan bekalan tenaga negara dapat dilanjutkan sehingga Disember ini susulan krisis tenaga global.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, setakat ini keterjaminan bekalan tenaga negara dijangka mencukupi sehingga Julai ini dan usaha sedang dilaksanakan kerajaan, termasuk mendapatkan sumber dari luar negara.

Menurut beliau, Petronas sedang mendapatkan sumber bekalan, termasuk ke Afrika bagi memastikan keterjaminan bekalan untuk rakyat.

Pada 15 April lalu, Petronas mengesahkan bekalan bahan api di semua stesennya di seluruh negara kekal terjamin sehingga akhir Jun ini, lanjutan daripada unjuran awal yang hanya menjangkau akhir Mei.

Petronas membekalkan kira-kira 50% keperluan bahan api negara melalui anak syarikatnya, Petronas Dagangan Bhd dan selebihnya dibekalkan syarikat minyak lain.

Terdahulu, Perdana Menteri tiba di Masjid Al-Muttaqin kira-kira jam 1 petang dan bersalaman dengan jemaah lain.

Umat Islam termasuk kanak-kanak yang hadir turut mengambil kesempatan mendapatkan tanda tangan dan bergambar bersama beliau.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img