TREND kes penipuan dalam talian di negara kini menunjukkan peningkatan membimbangkan apabila jumlah kes dan kerugian yang direkodkan terus meningkat setiap tahun.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, berdasarkan statistik Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 35,470 kes penipuan dalam talian direkodkan sepanjang tahun 2024 dengan nilai kerugian mencecah RM1.5 bilion.
Beliau berkata, jumlah itu melonjak lebih dua kali ganda pada tahun 2025 kepada 74,744 kes dengan kerugian sebanyak RM2.9 bilion.
“Ia sekali gus menunjukkan ancaman jenayah siber semakin serius dan memerlukan tindakan menyeluruh.
“Bagi tempoh empat bulan pertama tahun ini sahaja, iaitu dari Januari hingga April 2026, sebanyak 23,367 kes penipuan dalam talian telah dilaporkan membabitkan kerugian berjumlah RM680.3 juta,” katanya ketika berucap pada Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kuching hari ini.
Menurut Nie Ching, ancaman dunia siber kini bukan sahaja membabitkan kerugian wang, malah turut meresap ke ruang media sosial melalui penyebaran kandungan negatif seperti buli siber, kandungan jelik, perjudian dan berita palsu.
“Isu buli siber dan gangguan dalam talian juga amat kritikal apabila sebanyak 59,290 permohonan tindakan telah dibuat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dari tahun 2022 hingga April 2026,” katanya.
Menurutnya lagi, daripada jumlah itu, sebanyak 44,676 kandungan telah diturunkan oleh platform berkaitan demi melindungi emosi dan keselamatan pengguna Internet, khususnya golongan rentan dan kanak-kanak.
“Data ini menunjukkan bahawa isu keselamatan dan penyalahgunaan kandungan dalam talian masih memerlukan perhatian berterusan bagi memastikan persekitaran Internet yang lebih selamat dan bertanggungjawab,” katanya.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataannya memaklumkan Karnival Komuniti Kempen Internet Selamat di Kuching hari ini menghimpunkan lebih 500 pengunjung terdiri daripada komuniti setempat, murid sekolah serta pelajar institusi pengajian tinggi.
Menurut MCMC, karnival ini dianjurkan bagi memperkasa literasi digital serta meningkatkan kesedaran mengenai keselamatan dalam talian, khususnya dalam melindungi individu, kanak-kanak dan keluarga daripada ancaman siber.
“Program turut memfokuskan penggunaan internet secara selamat dan bertanggungjawab dalam kalangan komuniti termasuk peranan ibu bapa dalam membimbing anak-anak di alam maya,” kata MCMC.
Karnival ini turut disertai oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dan PDRM yang berkongsi maklumat mengenai taktik terkini penipuan kewangan dalam talian, langkah pencegahan serta tindakan yang perlu diambil sekiranya menjadi mangsa jenayah siber.
Kata MCMC, lebih daripada 20 agensi dan rakan strategik turut mengambil bahagian menerusi pelbagai aktiviti interaktif seperti demonstrasi keselamatan siber, simulasi penipuan dalam talian serta khidmat nasihat berkaitan keselamatan internet.
“Sejak dilancarkan pada Januari 2025, Kempen Internet Selamat telah menjangkau lebih 1.8 juta peserta di seluruh negara menerusi pelbagai program lapangan dan inisiatif kesedaran digital.
“MCMC menyeru orang ramai agar segera melaporkan sebarang insiden jenayah siber kepada pihak berkuasa. Kempen ini yang membawa mesej utama `Internet Selamat, Tanggungjawab Semua’ ke arah mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat dan bertanggungjawab untuk semua,” kata kenyataan itu.


