Michael Carrick kekalkan jadi Ketua Jurulatih Manchester United

MANCHESTER United mengumumkan bahawa Michael Carrick akan terus kekal sebagai ketua jurulatih pasukan utama lelaki selepas menandatangani kontrak baharu sehingga tahun 2028.

Carrick kembali menyertai United sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu dan berjaya memenangi anugerah Pengurus Bulanan Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan ke atas Manchester City dan Arsenal dalam dua perlawanan pertamanya mengendalikan pasukan.

Beliau turut berjaya membawa United layak ke saingan musim depan UEFA Champions League selepas merekodkan 11 kemenangan daripada 16 perlawanan, sekali gus mengumpul jumlah mata tertinggi dalam Liga Perdana Inggeris sejak ketibaannya.

Sebagai antara pemain paling berjaya dalam sejarah United, Carrick membuat 464 penampilan bersama kelab itu dan memenangi lima gelaran Liga Perdana Inggeris, Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara UEFA, Liga Europa UEFA serta Piala Dunia Kelab FIFA.

Carrick berkata beliau berasa bangga diberi tanggungjawab untuk memimpin kelab yang cukup istimewa buat dirinya.

“Sejak saya tiba di sini 20 tahun lalu, saya dapat merasakan keajaiban Manchester United. Memikul tanggungjawab untuk mengetuai kelab istimewa ini memberikan saya rasa bangga yang amat besar.

“Sepanjang lima bulan lalu, kumpulan pemain ini telah membuktikan bahawa mereka mampu mencapai standard ketahanan mental, semangat berpasukan dan keazaman yang kami tuntut di sini.

“Kini tiba masanya untuk kami bergerak ke hadapan bersama-sama dengan cita-cita besar dan hala tuju yang jelas. Manchester United dan penyokong hebat kami layak untuk kembali mencabar kejuaraan terbesar,” katanya.

Sementara itu, Pengarah bola sepak United, Jason Wilcox berkata Carrick sememangnya layak diberikan peluang untuk terus membimbing pasukan utama.

Menurutnya, selain keputusan positif di atas padang, pendekatan Carrick juga selari dengan nilai, tradisi dan sejarah kelab.

“Pencapaian Michael membawa kelab kembali ke Liga Juara-Juara tidak boleh dipandang ringan.

“Beliau berjaya membina hubungan kukuh bersama pemain dan membentuk budaya kemenangan di Carrington serta bilik persalinan yang sedang kami teruskan,” katanya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img