Pemungut hutang kurung, cederakan remaja lelaki dipenjara 15 bulan

SEORANG pemungut hutang yang bertindak mengurung dan mencederakan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning, Shah Alam minggu lalu, dijatuhi hukuman penjara 15 bulan oleh Mahkamah Majistret Shah Alam hari ini.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Mohamad Fadwan Abd. Muaain, 42, ketika disoal sendiri Majisret Wan Noora Nisa Ngadirin pada prosiding mitigasi dibuat lelaki itu.

Majistret : Kenapa kurung mangsa?

Tertuduh :Saya nak pecah rumah dia (remaja itu). Hendak ambil emas.

Majistret: Boleh fikir trauma terhadap kanak-kanak itu atas perbuatan kamu?

Tertuduh : Ya

Majistret : Kamu sudah boleh bezakan salah atau betul. Kenapalah kamu kurung dan cederakannya?

Tertuduh : Saya mohon hukuman seberat-seberatnya.

Susulan itu, Majisret Wan Noora kemudiannya menjatuhi hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan mengurung remaja itu.

Tertuduh juga diperintahkan menjalani penjara enam bulan kerana mencederakan remaja sama selepas dia selesai menjalani hukuman bagi kesalahan mengurung.

Mengikut pertuduhan, Mohamad Fadwan didakwa secara salah mengurung dan dengan sengaja menyebabkan cedera kepada kanak-kanak lelaki berusia 14 tahun di sebuah unit pangsapuri di Seksyen 32, Shah Alam antara 8.05 hingga 11.50 pagi, 11 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 342 dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Amirah Zahari manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Adli Hakim Azami.

Sementara itu, tertuduh mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal ke atas mangsa sama di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Susulan itu, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 14(d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum dengan hukuman sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya KS Rinisha Priyya sementara tertuduh tidak diwakili peguam.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian menetapkan 8 Jun depan untuk dapatkan rekod lampau tertuduh dan jatuh hukum.

Media sebelum ini melaporkan seorang remaja lelaki dikurung, didera dan dipercayai diliwat lelaki tidak dikenali di sebuah pangsapuri di Bukit Kemuning minggu lalu.

Siasatan awal polis mendapati, suspek memperdaya mangsa dengan mengajak remaja itu berbual sambil menawarkan satu pakej internet telefon bimbit dengan syarat mangsa membantu mengangkat barang di rumah suspek.

Suspek yang menjadi buruan selama lima hari selepas melakukan jenayah seksual itu akhirnya berjaya ditangkap pada petang Sabtu lalu di bilik sewanya di Kuala Lumpur.

Siasatan awal mendapati suspek melarikan diri ke ibu negara dengan menaiki pengangkutan awam sebelum menyewa bilik baharu selepas melakukan jenayah tersebut di daerah ini.

Polis kemudiannya mengesahkan bahawa suspek merupakan seorang bekas banduan dengan semakan pernah disabitkan hukuman penjara selama 17 tahun atas jenayah rogol, merompak dan mengurung seorang wanita pada 2007.

Hasil semakan juga mendapati suspek yang merupakan duda anak satu itu baru dibebaskan daripada penjara pada April tahun lalu.

 

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img