PEGAWAI Perkhidmatan Rahsia (SS) Amerika Syarikat menembak mati seorang individu selepas dia dipercayai melepaskan tembakan ke arah satu sekatan keselamatan berhampiran Rumah Putih, Washington pada Sabtu.
Menurut jurucakap agensi itu, kejadian berlaku sejurus sebelum jam 6 petang waktu tempatan (pukul 6 pagi tadi waktu Malaysia_ apabila suspek menghampiri pusat pemeriksaan keselamatan di luar kompleks Rumah Putih sebelum mula melepaskan tembakan ke arah pegawai bertugas.

Pegawai Perkhidmatan Rahsia kemudian membalas tembakan dan mengenai suspek. Individu berkenaan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di sebuah hospital berhampiran.
“Dalam insiden tembak-menembak itu, seorang orang awam turut terkena tembakan. Setakat ini masih belum dapat dipastikan sama ada mangsa terkena tembakan awal suspek atau semasa insiden berbalas tembakan berlaku,” kata jurucakap tersebut.
Pihak Perkhidmatan Rahsia memaklumkan tiada pegawai mereka yang cedera dalam kejadian itu.
Pada waktu kejadian, Presiden Donald Trump berada di kediaman rasmi Rumah Putih dan tidak terjejas. Seorang pegawai Rumah Putih berkata presiden telah dimaklumkan mengenai insiden berkenaan.
Kawasan sekitar Rumah Putih dilaporkan sempat dikawal ketat dan ditutup sementara ketika pihak keselamatan menjalankan operasi mengamankan lokasi kejadian. Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.


