POLIS mengesahkan mayat ditemukan dalam Proton Wira di tepi jalan Simpang 3 Tawar berhampiran jerat cina, di Baling semalam adalah seorang lelaki tempatan berusia 30-an dan mempunyai 20 rekod jenayah lampau yang melibatkan jenayah dan narkotik.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Brandon Richard Joe berkata, hasil pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati Proton Wira itu mempunyai rekod hilang di Pendang dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.
“Berikutan itu, polis merampas kenderaan terbabit untuk tujuan siasatan lanjut, ” katanya.
Brandon berkata, sebelum itu polis menerima maklumat berhubung penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri pada 11.35 pagi.
Katanya, polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Baling pergi ke lokasi dan mendapati kenderaan itu dalam keadaan berkunci serta lelaki di dalamnya didapati sudah meninggal dunia.
Berikutan itu, kata beliau sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) membantu membuka serta mengeluarkan mayat lelaki berkenaan dari dalam kenderaan dan kemudian dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, untuk tindakan lanjut
“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.


