AKIBAT enggan memberikan wang RM30 kepada suaminya untuk membeli dadah, seorang wanita cedera dipukul di Krian, Saratok.
Ketua Polis Daerah Saratok, Deputi Superintendan Mathew Manggie berkata, mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan membuat laporan polis selepas dipukul suaminya yang berusia 26 tahun pada 21 Mei lalu.
Beliau berkata, suspek bertindak agresif selepas mangsa enggan memberi wang RM30 yang diminta untuk membeli dadah.
“Akibat kejadian itu, mangsa cedera pada kedua-dua bahagian kening dan pipi kiri. usulan laporan yang diterima, polis menjalankan siasatan dan menahan suspek yang tampil menyerah diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasangan itu berkahwin pada 2020 dan mempunyai seorang anak perempuan berusia lima tahun.
Katanya, suspek dipercayai tidak berpuas hati selepas mangsa enggan memenuhi permintaannya sebelum memukul wanita itu beberapa kali di muka dan belakang badan.
“Hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga,” katanya.


