PETROLIAM Nasional Bhd (PETRONAS) mengesahkan tiga pekerja kontraktor maut manakala seorang lagi cedera dalam satu insiden ketika kerja penyelenggaraan bot dijalankan di platform Sepat di perairan Terengganu-Kelantan semalam.
Menerusi kenyataan media, PETRONAS memaklumkan kejadian berlaku kira-kira jam 12.50 tengah hari di fasiliti berkenaan.
Menurut kenyataan itu, semua mangsa terbabit adalah kakitangan kontraktor yang menjalankan kerja penyelenggaraan bot di lokasi kejadian.
“Tiga mangsa disahkan meninggal dunia sebaik tiba di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu kira-kira jam 5.57 petang.
“Seorang lagi pekerja yang cedera sudah dipindahkan untuk menerima rawatan lanjut dan kini berada dalam pemantauan,” menurut kenyataan itu.
PETRONAS berkata, siasatan berhubung punca kejadian sedang dijalankan dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan.
“PETRONAS merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, sahabat dan rakan sekerja mangsa yang terkorban.
“Keutamaan syarikat ketika ini adalah memastikan kebajikan dan kesejahteraan semua pihak yang terkesan terus diberikan perhatian,” katanya.


