SERAMAI 11 lelaki dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng RT6 yang dipercayai aktif sejak 2020.
Tertuduh ialah A Raja Ratanam, K Sunthreson, C Vijaya Kumar, N Nadarajah, T Raman, R Vijayan, M Kumaaran, N Harichandran, S Maran, Suwaran Singh dan Atif Ali Khan.
Kesemua mereka mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut pertuduhan, lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang dikenali sebagai Geng RT6 di sekitar Sentul antara 14 Januari 2020 hingga 27 April lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima hingga 20 tahun jika sabit kesalahan.
Tiada pengakuan direkodkan berikutan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mahkamah menetapkan 24 Jun depan untuk pengurusan kes selanjutnya dan memerintahkan semua tertuduh ditahan sehingga kes selesai.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Lokman Kassim dan Yazid Mustaqim Roslan.
Sementara itu, peguam Rajpal Singh, M Mathaban dan Kevin Francis mewakili Raja Ratanam, Kumaaran, Harichandran, Vijaya Kumar, Vijayan dan Maran manakala selebihnya tidak diwakili peguam.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, pihaknya menumpaskan sindiket pengedaran dadah dikenali sebagai ‘Geng RT’ menerusi operasi khas di sekitar Lembah Klang bulan lalu.
Menurutnya, sindiket itu dipercayai aktif sejak 2020 dan terbabit dalam aktiviti memproses serta mengedar pelbagai jenis dadah termasuk methamphetamine, heroin, ganja dan ephedrine di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor.


