Tiga maut jatuh pelantar minyak Sepat, polis siasat punca kejadian

POLIS sedang menjalankan siasatan terperinci berhubung kemalangan di pelantar minyak Sepat, kira-kira 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu semalam, yang mengorbankan tiga pekerja luar pesisir manakala seorang lagi cedera parah.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR) sementara siasatan lanjut diteruskan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian.

Menurutnya, sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah turut dihantar ke lokasi kejadian di pelantar berkenaan untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Sekiranya terdapat sebarang unsur jenayah, kes ini akan diklasifikasikan semula dan diambil alih oleh Jabatan Siasatan Jenayah untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Beliau berkata, proses siasatan masih berjalan dan polis kini menunggu laporan penuh berhubung insiden berkenaan.

Dalam pada itu, Azli turut menasihatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan maklumat tidak sahih berkaitan kejadian itu terutama di media sosial.

“Terdapat pelbagai spekulasi dan maklumat tidak tepat yang tular termasuk yang dikaitkan dengan pihak tertentu. Orang ramai diminta supaya tidak membuat atau menyebarkan kenyataan tidak benar,” katanya.

Dalam kejadian itu, keempat-empat mangsa dilaporkan terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter ketika berada di pelantar minyak berkenaan.

Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.

Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor dilaporkan mengalami patah tulang dan kini menerima rawatan di Unit Kecemasan HSNZ.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img