SEORANG mekanik sekali lagi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sik, hari ini atas tiga pertuduhan memiliki senjata api, peluru hidup dan pistol tiruan yang ditemukan dalam serbuan di rumahnya awal bulan ini.
Tertuduh, Mohd Shahifuldin Mohd Shahiran, 46, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Rohaida Ishak.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki itu didakwa memiliki selaras senapang Remington Model 1100 buatan Amerika Syarikat (AS) tanpa lesen atau permit sah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di rumahnya di Kampung Luar Siong, kira-kira jam 6 petang pada 6 Mei lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan minimum enam kali sebatan jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki 156 butir peluru hidup pelbagai jenis tanpa lesen atau permit sah di lokasi, tarikh dan masa sama.
Dia didakwa mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali.
Mohd Shahifuldin turut berdepan pertuduhan memiliki sepucuk pistol tiruan bertulis Glock 19 Gen 4 buatan Austria bersama satu kelopak peluru tanpa alasan munasabah.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 36 Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Nadia Jamal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 Julai depan untuk sebutan semula kes, lantikan peguam serta serahan dokumen.
Pada 13 Mei lalu, tertuduh turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Baling atas lima pertuduhan berkaitan pemilikan senjata api, peluru dan senjata tiruan sebelum mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan berkenaan.
Tertuduh ditahan pada 1 Mei lalu selepas polis menemukan tiga pistol termasuk satu pistol tiruan serta dua laras senapang angin di sebuah bengkel kenderaan yang didakwa disimpan sebagai koleksi peribadi.
Lima hari kemudian, polis menemukan selaras senapang patah, sepucuk pistol tiruan dan lebih 180 butir peluru yang disembunyikan di dapur serta loteng sebuah rumah di Baling hasil serbuan susulan.


