SEORANG lelaki meminta bantuan orang ramai mengesan individu yang didakwa memukul bapanya selepas berlaku kemalangan di Pasir Panjang, Terengganu.
Permintaan itu dikongsikan menerusi video oleh pengguna Facebook, Daniel Haiqal, yang memaparkan seorang lelaki memakai jaket dan topi hitam memegang bahu bapanya di tepi jalan ketika hujan.
Dalam rakaman itu, lelaki berkenaan kemudian dilihat menyiku muka bapa Daniel sehingga mangsa terjatuh ke belakang.
Individu terbabit turut didakwa menyepak mangsa, namun tidak dapat dipastikan sama ada sepakan itu mengenai bapa pemuda berkenaan kerana pandangan terhalang sebuah kereta.
Orang ramai kemudian dilihat menenangkan lelaki itu sebelum dia beredar menaiki sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza berwarna ungu bersama seorang lagi individu yang memakai baju dan topi merah.
Menurut Daniel, bapanya terbabit dalam kemalangan selepas kereta dipandunya dilanggar dari belakang.
“Ayah saya terlibat dalam kemalangan apabila keretanya dilanggar dari belakang. Selepas kejadian, ayah keluar untuk melihat keadaan kereta, namun secara tiba-tiba dipukul oleh seseorang.
“Kami sangat berharap sekiranya ada sesiapa yang melalui kawasan kejadian, mempunyai rakaman dashcam (kamera papan pemuka) atau ternampak kejadian tersebut menghubungi kami atau berkongsi maklumat.
“Kami sedang mencari bukti rakaman bagi membantu mengetahui kejadian sebenar yang berlaku. Mohon jasa baik semua untuk kongsi dan tularkan. Mana tahu perkongsian anda dapat membantu kami mendapatkan rakaman yang sangat kami perlukan,” katanya.
Hantaran itu menerima pelbagai maklum balas pengguna Facebook yang mengecam tindakan individu berkenaan dan meminta pihak berkuasa mengambil tindakan.





