PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga tiga pekerja luar pesisir yang maut dalam insiden di pelantar minyak Sepat, dekat perairan Kuala Terengganu, semalam.
Menerusi hantaran di laman X, Anwar berkata beliau turut mendoakan agar ahli keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi dugaan berkenaan.
“Takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa dan mendoakan agar mereka diberikan kekuatan serta ketabahan menghadapi dugaan yang amat berat ini dan moga mangsa yang sedang menerima rawatan dikurniakan kesembuhan segera,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan memandang serius insiden terbabit dan yakin siasatan menyeluruh sedang dilaksanakan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca kejadian.
Menurutnya, aspek keselamatan pekerjaan juga perlu sentiasa diperkukuhkan demi melindungi kebajikan para pekerja negara.
Terdahulu, tiga pekerja luar pesisir dilaporkan maut manakala seorang lagi cedera parah selepas dipercayai terjatuh dari ketinggian kira-kira 20 meter di pelantar minyak Sepat yang terletak kira-kira 150 kilometer dari perairan Kuala Terengganu.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Ahmad Fiqri Zakaria, 38, dari Melaka; Muhammad Faezuan Hakim Mohammad Bustamam, 28, dari Kuantan, Pahang dan Nik Muhammad Hafifi Asri Ab Majid, 38, dari Bandar Indera Mahkota, Pahang.
Seorang lagi mangsa, Mohd Taufik Mohd Ruslan, 37, dari Banting, Selangor kini menerima rawatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu.


