SEORANG penyelia projek syarikat swasta kerugian lebih RM200,000 selepas terperdaya dengan skim pelaburan saham tidak wujud yang menjanjikan pulangan lumayan.
Ketua Polis Daerah Pontian, Superintendan Hadzrat Hussein Mion Hussain berkata, mangsa lelaki berusia 45 tahun itu tertarik dengan tawaran keuntungan tinggi sebelum membuat beberapa transaksi ke akaun diberikan suspek.
Menurutnya, mangsa melakukan pembayaran bermula 9 Mac hingga 19 Mei lalu membabitkan jumlah keseluruhan RM200,400.
“Mangsa mendakwa ditawarkan keuntungan tinggi mencecah 80 peratus daripada jumlah pelaburan.
“Bagaimanapun, mangsa mula curiga selepas suspek meminta bayaran tambahan kononnya bagi membolehkan keuntungan yang diperoleh dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian semalam selepas mengesyaki dirinya menjadi mangsa penipuan.
Katanya, kes kini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
Dalam pada itu, Hadzrat menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada terhadap tawaran pelaburan yang menjanjikan keuntungan tidak munasabah.
Menurutnya, orang ramai disaran menyemak latar belakang syarikat pelaburan dan memastikan ia berdaftar secara sah dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia atau Bank Negara Malaysia (BNM).
“Jangan sesekali berkongsi maklumat perbankan dengan individu tidak dikenali.
“Jika ragu-ragu dengan sesuatu tawaran pelaburan, orang ramai boleh menghubungi National Scam Response Centre (NSRC) di talian 997 untuk bantuan segera,” katanya.


