Pokok tumbang hempap 4 kereta di Sungai Besi, laluan MEX turut terjejas

BEBERAPA insiden pokok tumbang dilaporkan berlaku di sekitar ibu negara petang tadi termasuk di Lebuhraya MEX dan Sungai Besi susulan cuaca buruk.

Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur dalam kenyataan memaklumkan pihaknya menerima beberapa panggilan kecemasan melalui talian NG999 berkaitan kejadian itu pada jam 2.50 petang.

Menurut kenyataan itu, antara lokasi terjejas ialah di Lebuhraya MEX menghala ke Lebuhraya NPE apabila sebatang pokok tumbang menghalang laluan jalan.

“Bagaimanapun, tiada mangsa atau kenderaan dilaporkan terbabit dalam kejadian itu,” menurut kenyataan berkenaan.

Sementara itu, di Pangsapuri Seri Malaysia, Jalan 3/141 Kampung Malaysia Tambahan, sebatang pokok tumbang menghempap sebuah kereta Proton Persona yang diparkir di bahu jalan.

Kejadian itu bagaimanapun tidak membabitkan sebarang kecederaan.

“Dalam kejadian berasingan di Lot PT 13856, Institut Sosial Malaysia, Sungai Besi, sebatang pokok besar tumbang menyebabkan dahan menghempap bumbung tempat parkir kenderaan.

“Empat kereta iaitu Perodua Ativa, Perodua Axia, Perodua Myvi dan Proton Waja mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

“Pihak bomba memaklumkan tiada mangsa dilaporkan terbabit dalam semua insiden berkenaan,” tambah kenyataan tersebut.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut dimaklumkan bagi membantu kerja pembersihan dahan pokok yang dipotong anggota bomba.

Kesemua laluan jalan yang terhalang dilaporkan sudah dibuka semula sepenuhnya kepada pengguna jalan raya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img