51 lelaki ditahan dalam serbuan parti dadah, aktiviti songsang di hotel mewah

JABATAN Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menumpaskan kegiatan penyalahgunaan dadah dan aktiviti tidak bermoral selepas menyerbu sebuah hotel mewah di ibu negara serta menahan 51 individu awal pagi semalam.

Operasi dijalankan antara jam 2.35 pagi hingga jam 5 pagi itu hasil risikan berkaitan penganjuran parti dadah dan pesta songsang membabitkan lelaki tempatan serta warga asing.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan berkata, operasi itu dijalankan bersama JSJN Kuala Lumpur dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields.

Menurutnya, empat siri serbuan dilakukan dalam operasi itu dan pihaknya berjaya menahan 51 lelaki berusia antara 21 hingga 52 tahun.

“Daripada jumlah itu, 23 adalah lelaki tempatan manakala 28 lagi warga asing.

“Polis turut merampas pelbagai jenis dadah antaranya cecair MDMA seberat 1.15 kilogram, serbuk MDMA (284 gram), pil ekstasi, serbuk ekstasi dan ketamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Hussein, keseluruhan rampasan dadah dianggarkan bernilai RM103,070.

Beliau berkata, sebelum serbuan dibuat, polis mengesan seorang lelaki dipercayai terbabit dalam parti berkenaan diusung keluar dari lobi hotel dalam keadaan tidak sedarkan diri.

“Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), namun disahkan meninggal dunia sebaik tiba di hospital,” katanya.

Menurutnya, sindiket itu dipercayai menjadikan bilik hotel mewah sebagai lokasi berhibur dan menyalahgunakan dadah selain terbabit dalam aktiviti tidak bermoral.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati 36 individu positif dadah manakala 15 lagi negatif.

“Kes ini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) akta sama dan Seksyen 15(1)(a) akta sama.

“Kesemua suspek direman antara tiga hingga enam hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Katanya, semakan rekod jenayah lampau mendapati seorang daripada suspek yang ditahan mempunyai satu rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Menurut Hussein, kejayaan operasi itu hasil risikan berterusan yang dijalankan pihak JSJN dalam usaha membanteras kegiatan pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img