BAPA kepada remaja perempuan yang hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa di Tanjung Malim sejak tiga hari lalu berharap operasi mencari dan menyelamat (SAR) anaknya akan menemui petunjuk baharu.
Azizul Abdul Aziz, 48, berkata, dia dan ahli keluarga reda dan pasrah dengan segala kemungkinan susulan kehilangan Nur Izzati Humaira, 18, yang hilang sejak Sabtu lalu.

“Sama ada masih bernyawa ataupun sudah menjadi jasad, kami reda dan berharap dia dapat ditemukan segera,” katanya ketika ditemui Bernama di Pos Kawalan Bomba (PKB) di lokasi kejadian hari ini.
Azizul yang menetap di Felda Trolak Utara, di Batang Padang, Perak berkata, anak kedua daripada empat beradik itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara sebelum hilang, sebaliknya kelihatan sangat gembira sejak kebelakangan ini selepas berjaya mendapat lesen memandu kereta.

Beliau berkata, Nur Izzati Humaira baru bekerja di sebuah kedai makan berhampiran Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Sungkai dan merupakan seorang remaja yang sangat aktif dalam sukan bola jaring.
“Walaupun sudah menamatkan persekolahan, dia sering kembali ke bekas sekolah menengahnya untuk membantu guru sukan melatih pasukan sekolah secara sukarela,” katanya.

Azizul berkata, anaknya itu mula berjinak-jinak dalam aktiviti pendakian sejak beberapa tahun lepas.
“Saya pernah mendaki bersama Nur Izzati Humaira di Gunung Belumut di Kluang, namun tidak dapat ikut untuk aktiviti Sabtu lepas,” katanya.
Beliau berkata ketika hari kejadian, remaja perempuan itu melakukan aktiviti mendaki bersama ibu, adik, ibu saudara dan dua orang sepupunya.
Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada 10.50 pagi Sabtu lepas ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian supaya sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.
Mangsa kali terakhir dilihat memakai tudung labuh coklat, baju lengan panjang hijau gelap dan seluar panjang hitam serta kasut biru.
Sementara itu, polis meneliti faktor luaran termasuk mengumpul maklumat daripada individu yang rapat dengan remaja perempuan itu bagi membantu usaha mencarinya.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, berdasarkan penelitian pasukan penyelamat di trek laluan bukit berkenaan, agak sukar untuk mangsa mengalami kemalangan fizikal dengan mudah.
“Kita akan dapatkan maklumat daripada kawan rapat, tempat dia bekerja, rakan sekolah dan saudara-mara, barulah kita dapat pandangan secara jelas.
“Pencarian akan diteruskan dari dua sudut kerana kita tak akan buat satu andaian saja. Pencarian di lokasi kejadian akan diteruskan dan siasatan di luar lokasi kejadian turut akan dibuat,” katanya kepada pemberita di Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) hari ini.
Ibrahim berkata, operasi SAR Nur Izzati hari ini turut menggunakan khidmat dron dengan fungsi pengesan haba.
Beliau berkata, usaha mengesan mangsa melalui isyarat telefon bimbit milknya tidak berjaya berikutan peranti berkenaan didapati tidak dihidupkan atau kehabisan bateri.
“Berdasarkan teknologi sedia ada, kita hanya dapat mengesan lokasi telefon berpandukan kawasan liputan pemancar telekomunikasi apabila telefon itu aktif. Bagaimanapun, ketika ini telefon itu berada dalam keadaan tutup (off) dan kami tidak dapat mengesannya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Zon Rawang Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Mustakim Rimon berkata SAR hari ini ditangguhkan pada 6.30 petang dan akan disambung pagi esok.


