Pendaki remaja Nur Izzati Humaira ditemukan meninggal dunia pagi ini

REMAJA perempuan, Nur Izzati Humaira Azizul yang dipercayai tersesat ketika mendaki Bukit Changkat Asa pada Sabtu lalu, ditemukan meninggal dunia pagi ini ini, selepas empat hari dilaporkan hilang.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, mayat remaja perempuan itu ditemukan di luar laluan mendaki oleh anggota operasi mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira jam 11.58 pagi.

ANGGOTA bomba dan penyelamat bersiap sedia membawa turun jenazah pendaki remaja Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan jam 11.58 pagi ini. GAMBAR: JBPM Selangor

“Mangsa ditemukan kira-kira 500 meter dari lokasi terakhir dia dilihat dan satu kilometer dari Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK).

“Pasukan SAR mengambil masa 20 minit membawa jenazah pendaki remaja itu ke PKTK menggunakan pengusung,” katanya ketika ditemui di PKTK di Hulu Selangor hari ini.

JENAZAH pendaki remaja Nur Izzati Humaira Azizul dimasukkan dalam trak polis sebaik sahaja dibawa turun dari Bukit Changkat Asa, tengah hari ini. GAMBAR: JBPM Selangor

Ahmad Mukhlis berkata, mayat remaja berusia 19 tahun itu diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu untuk bedah siasat.

Terdahulu, operasi SAR yang masuk hari keempat hari ini dimulakan jam 8 pagi membabitkan pelbagai agensi keselamatan selepas ditangguhkan pada jam 6.30 petang semalam.

PASUKAN mencari dan menyelamat daripada JBPM dan pelbagai agensi yang terlibat bersiap sedia memulakan operasi pencarian pendaki remaja Nur Izzati Humaira Azizul yang ditemukan jam 11.58 pagi ini. GAMBAR: JBPM Selangor

Allahyarham Nur Izzati Humaira dipercayai tersesat pada jam 10.50 pagi Sabtu lalu ketika menuruni bukit bersama-sama keluarganya selepas mengambil keputusan untuk berjalan sendirian agar sampai lebih awal kerana berasa panas dan penat.

Dalam pada itu, Ahmad Muhkhlis dalam kenyataan hari ini berkata, berdasarkan laporan hari keempat bermula jam 1.30 petang ini, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu memaklumkan operasi pencarian dimulakan pada jam 8 pagi.

“Pada jam 11.58 pagi, mangsa telah dijumpai oleh pasukan STORM (Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat Malaysia). Mangsa ditemukan telah meninggal dunia dan diserahkan pada pihak PDRM untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Ahmad Mukhlis, operasi SAR hari keempat dijalankan bersama PDRM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Bomba Sukarela, Pejabat Hutan, Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM, Pejabat Tanah, Malim Gunung Perhutanan (MGP) serta sukarelawan.

Katanya, jumlah anggota JBPM terlibat adalah 16 orang menggunakan jentera Fire Rescue Tender (FRT) manakala jumlah kesemua anggota dan pegawai agensi lain yang terlibat termasuk sukarelawan adalah 83 orang.

Sebelum ini, JBPM dilaporkan berkata, operasi SAR yang masuk hari keempat bagi mengesan Nur Izzati Humaira dimulakan seawal jam 8 pagi tadi.

Ketua BBP Kuala Kubu Bharu, Azliza Ahmad dilaporkan berkata, skop pencarian hari ini diperluas merangkumi kawasan seluas 0.57 kilometer persegi dengan tumpuan diberikan di laluan sepanjang kira-kira 800 meter di bukit terbabit.

“Pasukan SAR turut membuat pencarian dalam jarak 50 meter ke kiri dan kanan laluan ke puncak bukit berkenaan dan turut membuat flushing di kawasan yang telah dicari semalam, bagi memastikan mangsa tiada di situ,” katanya di PKTK Hulu Selangor.

 

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img