BEKAS pemain bola sepak kebangsaan yang kenderaan mewahnya disita dalam Ops Luxury sudah menyelesaikan semua kesalahan berkaitan Toyota Vellfire miliknya dan dibenarkan mengambil semula kenderaan itu semalam.
Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Lumpur memaklumkan individu terbabit sudah membuat pembayaran serta memperbetulkan semua kesalahan yang dikesan ketika operasi dijalankan.
Menurut JPJ, pakar motivasi keusahawanan bergelar Datuk yang turut ditahan sebelum ini juga sudah mengambil tindakan membetulkan kesalahan dan kini dalam proses pelepasan kenderaan.
Sebelum ini, media melaporkan bekas pemain bola sepak kebangsaan dan pakar motivasi terkenal antara dua individu yang ditahan JPJ dalam Ops Luxury di sekitar ibu negara dan Lembah Klang.
Bekas pemain bola sepak itu ditahan ketika memandu kenderaan pelbagai guna (MPV) mewah Toyota Vellfire sekitar jam 4 pagi Sabtu lalu di Bukit Bintang.
Sementara itu, pakar motivasi terbabit pula ditahan selepas memandu kereta Mercedes Benz Brabus AMG dengan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh selain tidak memiliki perlindungan insurans sah.
Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) JPJ, Datuk Jazmanie Shafawi berkata, Toyota Vellfire milik bekas pemain bola sepak itu disita selepas didapati melakukan tiga kesalahan.
“Semakan mendapati LKM tamat tempoh sejak 7 Disember tahun lalu dan sudah lima bulan tidak diperbaharui.
“Selain itu, kenderaan terbabit juga tidak mempunyai perlindungan insurans dan pemiliknya memiliki lesen memandu tamat tempoh,” katanya pada sidang media di Depoh Tunda JPJ Kuala Lumpur.
Beliau berkata, Mercedes Benz Brabus AMG milik pakar motivasi itu pula disita kerana LKM tamat tempoh selama sebulan selain tiada perlindungan insurans.
“Semasa pemeriksaan juga, kita dapati kenderaan itu masih mempamerkan nombor pendaftaran lama walaupun pertukaran nombor sudah dibuat dan ia merupakan satu kesalahan,” katanya.


