POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan memanggil seorang pakar akademik dalam bidang Perlembagaan Persekutuan bagi mendapatkan pandangan untuk membantu siasatan kes kenyataan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua yang mendakwa kuasa raja di negara ini terhad.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata pakar berkenaan dijangka dipanggil memberi keterangan pada 3 Jun depan bagi membantu siasatan itu.
Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan identiti pakar terbabit.
Namun katanya, pandangan akademik itu diperlukan bagi membantu siasatan yang dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia kerana melibatkan isu agama, raja dan kaum (3R).
“Kita akan merakam percakapan pakar dari sudut Perlembagaan Persekutuan untuk mendapatkan pandangan akademik,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang hari ini.
Media sebelum ini melaporkan polis membuka siasatan terhadap Tony susulan hantaran dimuat naik di Facebook mengulas mengenai isu titah dan Rukun Negara.
Sementara itu menurut Kumar, setakat ini 120 laporan polis diterima berhubung kes berkenaan dengan 95 saksi sudah dirakam percakapan.
“Daripada semua rakaman percakapan ini, kita akan rujuk kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
“Tony juga sudah dipanggil memberi keterangan beberapa hari selepas polis menerima laporan berkaitan hantaran Facebook berkenaan,” katanya.


