ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menjunjung kasih dan merafakkan setinggi-tinggi penghargaan atas titah Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail yang menzahirkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada pasukan berkenaan.
ATM dalam kenyataan berkata, titah itu menterjemahkan sinergi strategik yang utuh antara Institusi Diraja, kerajaan negeri dan ATM.
Menurut pasukan itu, kesediaan kerajaan negeri Johor memberikan ruang serta kerjasama penuh bagi pelaksanaan eksesais ketenteraan adalah nadi kepada kelangsungan kesiagaan ATM.
“ATM turut menjunjung setinggi-tinggi kasih atas jaminan Pemangku Sultan Johor untuk terus membuka pintu dan menyantuni veteran ATM yang pastinya melonjakkan lagi moral warga perkhidmatan.
“Pengiktirafan terhadap jasa perwira yang sudah menamatkan perkhidmatan membuktikan bahawa pengorbanan mereka kekal dihargai,” kata kenyataan ATM yang dikeluarkan hari ini.
Media semalam melaporkan, Tunku Mahkota Ismail bertitah, ATM mempunyai ruang, kuasa serta kerjasama yang sewajarnya untuk melaksanakan sebarang bentuk latihan di Johor.
Baginda bertitah, latihan sedemikian amat penting dalam memperkukuh kesiapsiagaan operasi, meningkatkan keupayaan serta memperhalusi kemahiran yang diperlukan, bagi mempertahankan keselamatan dan kedaulatan negara.
Sehubungan itu, Tunku Mahkota Ismail memberi jaminan bahawa Institusi Diraja Johor dan kerajaan negeri akan terus memberikan sokongan penuh terhadap usaha-usaha berkenaan.
ATM menegaskan, ketumbukan ini sentiasa beroperasi berlandaskan lunas perundangan.
“Justeru, mandat pertahanan negara dilaksanakan secara holistik melangkaui sempadan geografi. Latihan yang konsisten dan realistik di lapangan sebenar adalah prasyarat wajib bagi memperkasa kompetensi taktikal warga ATM sekali gus menjamin kesiapsiagaan pertahanan negara berada pada tahap tertinggi.
“ATM akan terus memfokuskan sumber dan kepakaran kepada objektif teras pertahanan nasional. ATM juga kekal profesional dan akan sentiasa meletakkan keselamatan rakyat serta kedaulatan tanah air sebagai keutamaan mutlak di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong,” menurut kenyataan itu.


