KERAJAAN memberi jaminan kesiapsiagaan keselamatan di kawasan sempadan perairan negara terus diperkukuh khususnya di utara Sabah yang bersempadan dengan Filipina bagi menangani ancaman pencerobohan dan jenayah rentas sempadan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu antara fokus lawatan kerjanya ke Pulau Banggi, Sabah pagi tadi selepas kembali ke tanah air selepas menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN di Cebu, Filipina.

“Pagi ini (tadi) saya meneruskan lawatan kerja dengan berkunjung ke Pulau Banggi, Sabah seusai Sidang Kemuncak ASEAN di Filipina. Saya ke Pos Dogoton untuk meninjau tahap kesiapsiagaan di kawasan sempadan Malaysia-Filipina.
“Pos Dogoton adalah antara pos keselamatan hadapan bersempadanan dengan perairan Filipina yang memainkan peranan penting dalam menjaga kedaulatan dan keselamatan perairan negara di kawasan utara Sabah.

“Ini termasuk mengawal ancaman pencerobohan, penyeludupan serta aktiviti jenayah rentas sempadan,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook beliau hari ini.
Menurut Anwar, beliau diberi taklimat berkenaan pelaksanaan operasi pos keselamatan di lokasi terbabit sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini.
“Saya diberikan taklimat berkenaan pelaksanaan operasi di sini (Pos Dogoton), sebelum dibawa melihat kawasan kepulauan berhampiran serta meninjau pengoperasian radar yang menjadi antara aset penting pemantauan keselamatan di kawasan ini.
“Penugasan di kawasan terpencil dengan keadaan muka bumi dan cuaca yang mencabar menuntut ketahanan mental, disiplin serta semangat juang yang tinggi dalam pasukan. Penghargaan tertinggi buat pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang ditugaskan menjaga kedaulatan tanah air di Pos Dogoton,” katanya.
Anwar berkata, keteguhan, keberanian dan kesiapsiagaan pasukan dalam mempertahankan setiap inci perairan negara daripada sebarang ancaman adalah lambang pengorbanan yang jarang terlihat, namun menjadi benteng yang memastikan kita terus hidup aman dan tenteram.


