YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah menzahirkan ucapan selamat menyambut Hari Ulang Tahun Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) ke-68 kepada seluruh warga dan veteran TUDM.
Sebagai Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Sultan Ibrahim merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terhadap komitmen dan pengorbanan anggota TUDM dalam mempertahankan kedaulatan ruang udara negara.
Sultan Ibrahim turut menzahirkan ingatan kepada anggota TUDM yang terkorban dalam menjalankan tugas demi negara.
“Al-Fatihah buat mereka yang telah pergi meninggalkan kita buat selama-lamanya. Semoga mereka ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman dan juga para syuhada,” titah baginda menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini.


