JENAZAH remaja perempuan yang meninggal dunia selepas hilang ketika mendaki Bukit Changkat Asa di Hulu Selangor Sabtu lalu, selamat dikebumikan awal pagi tadi.
Allahyarham Nur Izzati Humaira Azizul dikebumikan di kampung halamannya di Tanah Perkuburan Islam Felda Trolak Utara, Perak.
Suasana sedih dan pilu menyelubungi Masjid Al-Ridzuaniah sebaik sahaja jenazah tiba pada jam 2.30 pagi dari Hospital Sungai Buloh, selepas selesai proses bedah siasat.
Bapa Allahyarham, Azizul Abdul Aziz mengimamkan solat jenazah bersama kira-kira 100 jemaah terdiri daripada ahli keluarga, jiran dan penduduk kampung sebelum jenazah dikebumikan.
Azizul turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada semua agensi terlibat, selain meluahkan rasa terharu dengan sokongan dan keprihatinan masyarakat dalam misi mencari dan menyelamat anaknya sejak empat hari lalu.
Media semalam melaporkan, Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Asisten Komisioner Ibrahim Husin berkata, mangsa ditemukan meninggal dunia oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira satu kilometer dari lokasi Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada jam 11.58 pagi semalam.
Katanya, mayat remaja itu dibawa keluar dari kawasan berkenaan kira-kira jam 1.38 petang sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Sungai Buloh bagi proses bedah siasat.
Menurutnya, polis mengklasifikasikan kes penemuan Allahyarham sebagai kematian mengejut (SDR).


