ISU membabitkan kelab bola sepak Kuala Lumpur City FC (KL City), khususnya berkaitan penggajian dan tunggakan, diharap dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
Penaungnya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tumpuan kini adalah memastikan perkara berbangkit dapat diselesaikan agar tidak menjejaskan persiapan kelab menghadapi musim baharu saingan liga.

Menurut Fahmi, beberapa penambahbaikan sudah dilakukan sejak beliau menjadi penaung KL City FC .
Beliau percaya isu dana ketika ini tidak lagi menjadi perkara yang terlalu besar seperti sebelum ini dan akan terus diuruskan dari semasa ke semasa.
“Sejak saya menjadi penaung kepada KL City, beberapa perkara telah ditambah baik. Saya percaya isu dana tidak lagi menjadi satu isu yang terlalu besar,” katanya kepada pemberita selepas Program Korban Perdana Perpaduan Lembah Pantai di ibu negara hari ini.
Dalam pada itu, Fahmi berkata, beberapa aspek lain turut diberi perhatian bagi memastikan operasi kelab berjalan lancar.
Antaranya termasuk aspek pelesenan, bagi memastikan kelab tidak berdepan sebarang halangan menjelang musim hadapan.


