BEKAS Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki sedang membuat persiapan untuk mengambil tindakan menyaman Albert Tei susulan tuduhan beliau mengugut ahli perniagaan kontroversi itu berkait dakwaan skandal rasuah Sabah.
Menurut Azam, beliau akan berunding dengan peguamnya sebelum menentukan tindakan seterusnya terhadap Albert.
“Dakwaan yang dilemparkan terhadap saya adalah tidak berasas sama sekali dan telah mencemarkan reputasi saya.
“Saya sedang mempertimbangkan untuk menyamannya (Albert) dan akan membincangkan perkara itu dengan peguam saya terlebih dahulu,” kata Azam hari ini.
Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, akan memanggil Azam dalam masa terdekat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan ugutan terhadap Albert.
Kumar dilaporkan berkata, pihaknya merakam percakapan dua saksi iaitu Albert dan seorang peguam yang dikatakan menyampaikan maklumat berhubung dakwaan ugutan itu, setakat ini.
Hari ini, Azam menyifatkan dakwaan Albert terhadapnya sebagai tidak berasas dan mahu polis menyiasat ahli perniagaan itu kerana membuat laporan palsu.
Menurut Azam, beliau tidak pernah berurusan secara langsung dengan Albert dan mempersoalkan dakwaan ahli perniagaan itu bahawa dirinya diugut.
Sementara itu, Kumar hari ini mengesahkan polis akan bertemu dengan Azam minggu depan untuk merakam keterangan berhubung dakwaan ugutan terhadap Albert.


