BEKAS Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dijangka akan mengumumkan parti baharu yang bakal dipimpinnya, pertengahan bulan depan.
Menurut sumber terdekat dengan bekas Ketua Pembangkang itu, persiapan bagi pelancaran parti baharu di Kuala Lumpur itu kini hampir selesai.
“Hamzah akan mengumumkan parti baharu pada bulan depan di mana sebahagian besar akar umbi Bersatu akan bersama dengan beliau,” kata sumber itu yang turut dipecat Bersatu sebelum ini, lapor FMT.
Difahamkan, pelancaran parti baharu tersebut akan diadakan pada Konvensyen Reset sebelum sidang Dewan Rakyat bermula pada 22 Jun depan.
Hamzah dipecat Bersatu pada 13 Februari lalu ketika kemuncak perebutan kuasa kepimpinan dengan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Keesokan harinya, Ahli Parlimen itu melancarkan gerakan Reset.
Beliau sejak itu dikaitkan dengan rancangan mengambil alih sebuah parti baharu bersama beberapa lagi bekas pemimpin Bersatu yang dipecat, termasuk Datuk Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), dan Datuk Wan Saiful Wan Jan (Tasek Gelugor).
Antara sekutu rapat Hamzah yang masih berada dalam Bersatu ialah Naib Presiden, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee dan Ketua Wanita, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin, yang mana keduanya digantung keahlian.
Pada Isnin lalu, bekas Ketua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik mendakwa lebih 200,000 ahli Bersatu, termasuk mereka yang telah keluar atau kekal dalam parti, menyokong gerakan Reset pimpinan Hamzah.


