SEBANYAK 77 pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipecat daripada 994 kes tata tertib yang direkodkan jabatan itu sejak tahun 2022 sehingga kini.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, angka itu termasuk 23 kes tata tertib yang telah diselesaikan dengan lapan pegawai diberhentikan kerja, tahun ini.
Menurut beliau, tindakan itu diambil dalam usaha agensi berkenaan memperkasakan integriti serta mengekang isu salah laku dalam kalangan warganya.
“Kita tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai yang melanggar integriti dan terbabit salah laku.
“Saya tidak kira dari peringkat mana, kita akan mengambil tindakan berdasarkan bukti-bukti yang ada untuk kita teruskan dengan kes tata tertib,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Jelajah Wira Madani Semarak Aidiladha di Depot Imigresen Sementara Millennium di Beranang hari ini.
Mengulas lanjut, Zakaria berkata, salah laku yang dikesan termasuk pelanggaran prosedur operasi standard (SOP), meluluskan sesuatu di luar bidang kuasa seperti kes sindiket tetapan kaunter (counter setting), tidak hadir bertugas, penyalahgunaan dadah, dan bersubahat membekalkan bahan terlarang kepada tahanan di depoh.
Selepas dikesan melakukan kesalahan, katanya, JIM harus membuktikan tindakan diambil adalah tepat.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan bahawa bukan mudah untuk membuktikan seseorang itu melakukan kesalahan.
“Itu yang masyarakat perlu faham. Kita tidak boleh mengambil tindakan sembarangan tanpa bukti yang konkrit,” katanya.


