SEORANG wanita maut manakala suaminya parah selepas motosikal ditunggang terbabit kemalangan dengan kereta di Kilometer 29.4 Jalan Lama Kota Bharu-Kuala Krai dekat Pulai Chondong di Machang hari ini.
Kejadian kira-kira jam 8.30 pagi itu berlaku ketika pasangan berkenaan dalam perjalanan pulang selepas menunaikan solat sunat Aidiladha di surau berhampiran.
Ketua Polis Daerah Machang, Superintenden Azuhar Md Nor berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta Perodua Viva dinaiki beberapa individu berlanggar dengan motosikal mangsa dari arah Kota Bharu menghala ke Kuala Krai.
“Berikutan kemalangan itu, pembonceng motosikal iaitu wanita berusia 47 tahun meninggal dunia di lokasi, manakala penunggang motosikal lelaki berusia 44 tahun cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia (HPUSM) Kubang Kerian.
“Sementara itu, pemandu serta penumpang kereta tidak cedera,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, kes ini disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut diminta menghubungi pegawai penyiasat Inspektor Khairulanwar Adam di talian 011-1008 5165 bagi membantu siasatan.


