SEORANG pemuda ditemukan lemas ketika mandi-manda bersama ahli keluarganya di Air Terjun Belukar Bukit, Kuala Berang, Hulu Terengganu hari ini.
Mangsa, Muhammad Zahari Mohd Zain, 26, yang berasal dari Kampung Kelulut, Marang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pihak perubatan.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Superintenden Sharudin Abdul Wahab berkata, sebelum kejadian, mangsa dikatakan datang ke pusat rekreasi tersebut untuk meluangkan masa bersama kira-kira 20 ahli keluarganya.
”Bagaimanapun, hanya lima orang sahaja yang mandi bersama-sama mangsa, manakala ahli keluarga yang lain serta pengunjung di situ berada di atas daratan,” katanya lapor Sinar Harian.
Beliau berkata, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hulu Terengganu menerima maklumat mengenai kejadian menerusi panggilan MERS 999 daripada orang awam pada jam 4.22 petang sebelum mengerahkan pasukan keselamatan ke lokasi.
“Bilik Gerakan IPD berjaya menghubungi sepupu mangsa pada jam 5 petang bagi mendapatkan perkembangan terkini insiden berkenaan.
”Sepupu mangsa memaklumkan bahawa mangsa telah pun berjaya ditemui oleh orang awam di kawasan sekitar, namun berada dalam keadaan tidak sedarkan diri,” katanya.
Beliau berkata, petugas kesihatan bersama ambulans daripada Hospital Kuala Berang bergegas ke lokasi tersebut bagi memberikan bantuan kecemasan.
Bagaimanapun katanya, mangsa disahkan telah meninggal dunia pada jam 5.49 petang oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Berang, Dr Rabiatul Adawiyah Din.
”Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Bahagian Forensik Hospital Kuala Berang menggunakan kenderaan polis pada jam 6 petang untuk tindakan lanjut,” katanya.


