PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa anggota Kabinet mempertimbangkan anjakan dalam dasar utama bagi memperkukuh daya tahan, sektor industri dan ekonomi negara.
Beliau berkata, Malaysia memiliki sumber, modal insan, disiplin serta daya tahan yang diperlukan untuk terus maju sebagai sebuah negara yang unggul.
Anwar yakin matlamat itu mampu dicapai menerusi usaha berterusan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta kerjasama erat antara kerajaan dengan pemain industri.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Kecemerlangan Industri (AKI) 2026 di Dewan Perdana Menara MITI di ibu negara malam ini, lapor Bernama.
Yang turut hadir, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani serta Timbalan Menteri MITI, Sim Tze Tzin.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memainkan peranan penting dalam memastikan kestabilan negara, selain terus merangka dasar ekonomi dan pembangunan negara.
Merujuk Pelan Induk Perindustrian, peralihan tenaga dan transformasi digital, beliau menegaskan bahawa kejelasan dasar perlu disusuli pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai.
“Di kebanyakan negara, mereka boleh memperkenalkan dan menghasilkan beberapa pelan yang mengagumkan tetapi tidak ada jaminan bahawa anda mampu atau dapat melaksanakannya dengan berkesan.
“Jadi bukan sahaja birokrasi, peranan pemain industri khususnya adalah kritikal,” katanya.
Sementara itu, Perdana Menteri menerusi hantaran di Facebook beliau malam ini melahirkan kesyukuran berkesempatan meraikan syarikat-syarikat tempatan dalam majlis itu.





