‘’Ini tindakan pengecut!’’ penganjur kecam tindakan Itali  sabotaj  konvoi Global Sumud Frotilla  ke Gaza

‘’Itali menghantar kapal perangnya   seolah-olah memberikan perlindungan terhadap misi kemanusiaan tersebut, tetapi sebenarnya memihak kepada kepentingan Zionis Israel dengan melarang para sukarelawan dan aktivis antarabangsa meneruskan pelayaran.’’

PENGANJUR Global Sumud Flotilla mendedahkan, Kementerian Luar Negeri Itali menghubungi mereka untuk memaklumkan bahawa kapal tentera laut negara itu menawarkan kepada peserta flotilla meninggalkan kapal masing-masing dan kembali ke pantai sebelum memasuki zon kritikal (zon merah)

Dalam kenyataan rasmi lewat malam tadi, Global Sumud Flotilla juga menilai sejak awal bahawa kehadiran kapal perang tentera Itali itu memang tidak selaras dengan prinsip gerakan sivik dan tanpa keganasan yang diyakini oleh semua sukarelawan dan aktivis yang berlayar  namun memahami pentingnya sokongan daripada semua kerajaan seluruh dunia terhadap misi pelayaran ke Gaza itu.

Bagaimanapun Global Sumud Flotilla mendedahkan, Itali menghantar kapal perangnya   seolah-olah memberikan perlindungan terhadap misi kemanusiaan tersebut, tetapi sebenarnya memihak kepada kepentingan Zionis Israel dengan melarang para sukarelawan dan aktivis antarabangsa meneruskan pelayaran.

“Ini adalah tindakan pengecut yang berselindung di sebalik   diplomasi. Jika Itali benar-benar ingin melindungi nyawa, mereka tidak akan bertindak sebagai penyokong Israel. Dan mereka juga tidak akan menekan orang-orang awam yang melakukan pelayaran untuk berundur,” tegas kenyataan tersebut.

Menurut Global Sumud Flotilla, jika benar-benar ingin memberikan sokongan, Itali hanya perlu memastikan keselamatan perjalanan semua sukarelawan sehingga tiba di Gaza dan memberi peringatan kepada Zionis Israel supaya menghormati kepada undang-undang antarabangsa.

‘’Itali juga boleh menghantar pasukan bantuan, dan pasukan keselamatan untuk para sukarelawan dan aktivis kemanusiaan yang sehingga kini masih dalam pelayaran. Oleh itu apa sahaja yang kurang daripada itu, kami anggap ia hanyalah bertujuan  menggagalkan misi kemanusiaan ini,”  kata kenyataan tersebut.

Global Sumud Flotilla menegaskan tidak terpengaruh dengan sebarang usaha yang mahu menghentikan misi pelayaran kemanusiaan ke Gaza itu.

“Kami menegaskan, armada-armada Global Sumud Flotilla akan terus berlayar. Angkatan Laut Itali tidak boleh menggagalkan misi ini. Kerana tuntutan kemanusiaan untuk memecahkan sekatan Gaza ini tidak boleh mengembalikan kami ke pelabuhan, dan kami tidak boleh melepaskan tanggungjawab moral kami begitu sahaja,” kata kenyataan tersebut.

Kenyataan itu menegaskan, kesemua peserta pelayaran Global Sumud Flotilla juga memahami apa sahaja risiko yang bakal dihadapi oleh misi pelayaran ke Gaza berkenaan.

‘’ Semua peserta pelayaran menegaskan mereka sebagai kumpulan yang tidak akan memberikan harapan kosong demi membantu masyarakat di Gaza yang menjadi mangsa jenayah perang dan genosid  Zionis Israel.

“Kami tidak berada di misi ini dalam keadaan ilusi. Kami di sini (pelayaran) kerana akan lebih berbahaya jika terus berdiam diri melihat genosid, kebuluran, dan pelanggaran undang-undang. Kerajaan Itali mengetahui tentang ini sementara Israel masih terus melakukan pembunuhan dan menyebabkan rakyat Palestin kelaparan dan tanpa keadilan,” kata kenyataan tersebut.

Sehubungan itu, Global Sumud Flotilla mengakhiri kenyataan mereka dengan meminta kepada Kerajaan Itali supaya menggunakan tentera mereka, ataupun peranan diplomasi  untuk menangani masalah kemanusiaan yang dilakukan oleh Israel itu kerana tindakan rejim Zionis tersebut menyalahi undang-undang dan tidak berperikemanusiaan.

‘’Pengepungan yang dilakukan Israel di Gaza adalah satu jenayah. Kami tidak akan bertoleransi dengan kebisuan dunia. Jika kerajaan Itali ingin dikenang kerana keberanian kemanusiaan, sewajarnya mereka berlayar bersama-sama kami untuk membantu rakyat di Gaza,” kata kenyataan berkenaan.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial

Terkini

spot_imgspot_img

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_imgspot_img