Terbuka Singapura: Aaron-Wooi Yik kempunan pertahan kejuaraan

IMPIAN beregu lelaki negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik untuk mempertahankan gelaran Terbuka Singapura berakhir lebih awal selepas terkandas di pentas suku akhir, hari ini.

Pasangan nombor dua dunia itu terpaksa akur dengan kehebatan gandingan China, Liang Wei Keng dan Wang Chang apabila tewas dalam straight set 15-21, 15-21 di Stadium Tertutup Singapura.

Sejak awal permainan, pasangan negara dilihat sukar menyesuaikan diri dengan tempo pantas yang dipamerkan lawan. Beregu China yang menghuni ranking ketiga dunia tampil lebih kemas dan agresif untuk menguasai set pertama sebelum menang 21-15.

Memasuki set kedua, situasi masih tidak berubah apabila Aaron-Wooi Yik terus bergelut mendapatkan rentak terbaik. Konsistensi lawan dalam serangan dan pertahanan menyukarkan wakil negara untuk mencipta kebangkitan.

Walaupun cuba memberi tentangan pada penghujung permainan, usaha pasangan Malaysia itu tidak cukup untuk menghalang kemenangan pasangan China yang sekali lagi menutup set kedua dengan keputusan 21-15.

Kekalahan tersebut menyaksikan cabaran juara dunia 2022 itu berakhir lebih awal sekali gus gagal mempertahankan trofi yang dimenangi mereka pada edisi lalu.

Pada masa sama, kekalahan itu turut menandakan tiada wakil Malaysia berjaya mara ke separuh akhir kejohanan badminton bertaraf Super 750 berkenaan.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img