Langkah Malaysia terhenti di suku akhir, impian Piala Thomas tidak kesampaian

HASRAT pasukan badminton negara untuk menamatkan penantian lebih tiga dekad dalam saingan Piala Thomas sekali lagi tidak menjadi kenyataan apabila tewas 3-0 kepada China pada peringkat suku akhir di Forum Horsens, Denmark.

Aksi pembukaan menyaksikan pemain perseorangan negara, Leong Jun Hao berusaha memberikan saingan sengit sebelum akhirnya kecundang kepada pemain nombor satu dunia, Shi Yu Qi dengan keputusan 21-10, 16-21, 21-9 dalam masa 66 minit.

Jun Hao sempat menghidupkan peluang apabila memenangi set kedua selepas tewas set pertama. Namun, momentum itu tidak dapat diteruskan dalam set penentuan. Beliau menjelaskan bahawa dirinya cuba kekal fokus dan berjuang bagi setiap mata untuk mencuri kemenangan satu set, tetapi permulaan kurang kemas dalam set ketiga serta beberapa keputusan tergesa-gesa memberi kelebihan kepada pihak lawan.

Dalam perlawanan kedua, pasangan beregu China, Liang Wei Keng dan Wang Chang, yang berada di ranking kelima dunia, berjaya menewaskan gandingan utama Malaysia, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dengan keputusan 24-22, 21-14.

Menurut Aaron, kegagalan memanfaatkan mata penting menjadi titik kelemahan pasukan mereka, khususnya selepas set pertama yang sengit. Walaupun cuba bermain secara lebih agresif, ketidakstabilan prestasi serta kesilapan pada saat kritikal memberi ruang kepada lawan mengawal perlawanan. Tambahan pula, kelebihan pihak China di kawasan jaring menyukarkan mereka untuk menyaingi corak permainan tersebut.

Perjalanan Malaysia akhirnya berakhir dalam perlawanan ketiga apabila Justin Hoh tewas kepada pemain ranking ketujuh dunia, Li Shi Feng dengan keputusan 21-14, 21-13.

Walaupun menunjukkan usaha yang baik, jurang pengalaman dan kualiti permainan jelas memihak kepada pihak lawan.

Kekalahan ini menyaksikan Malaysia tersingkir di peringkat suku akhir, sekali gus meneruskan penantian panjang sejak kejayaan terakhir menjulang trofi Piala Thomas pada tahun 1992.

 

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img