
SEJAK awal lagi penulis sudah menjangkakan tindakan pemimpin-pemimpin negara Islam menyokong pelan damai Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump di Gaza adalah satu kesilapan dan kejahilan.
Malah mereka juga begitu gembira apabila Trump mengesyorkan gencatan senjata di wilayah itu tetapi lihatlah kesannya sekarang? Seperti diduga, Israel menggunakan pelan damai dan gencatan senjata sebagai lesen bukan sahaja untuk terus membunuh rakyat Palestin tetapi juga menakluk Gaza ‘secara terhormat’.
Ia terbukti apabila Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, pada Khamis mengumumkan bahawa beliau telah mengarahkan tentera Israel untuk memperluaskan kawalan mereka di Semenanjung Gaza daripada kira-kira 60 peratus wilayah kepada 70 peratus.
Berucap dalam satu persidangan di sebuah penempatan Israel di Tebing Barat yang diduduki, Netanyahu berkata Israel terus memperketat cengkamannya ke atas Gaza.
“Kami kini sedang menekan Hamas. Kami kini mengawal 60 peratus wilayah di Gaza. Sebelum ini kami berada pada 50 peratus, kemudian meningkat kepada 60 peratus. Arahan saya adalah untuk meningkatkannya kepada 70 peratus.’’ Kata Netanyahu yang juga penjenayah antarabangsa.
Kenyataan itu dilihat sebagai antara pengisytiharan paling jelas setakat ini mengenai objektif wilayah Israel di Gaza, ketika tentera Israel terus memperluaskan kehadiran mereka walaupun perjanjian gencatan senjata yang berkuat kuasa pada Oktober 2025 masih berjalan.
Laporan berasingan CNN menyatakan bahawa peta tentera Israel yang diberikan kepada organisasi bantuan pada akhir April lalu menunjukkan pasukan Israel telah menguasai kira-kira 64 peratus kawasan Gaza.
Pengumuman tersebut dilihat bercanggah dengan syarat perjanjian gencatan senjata yang ditaja Amerika Syarikat dan disokong oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Di bawah perjanjian itu, tentera Israel berundur ke satu garisan pemisah yang dikenali sebagai “garisan kuning”, sekali gus meninggalkan Israel dengan kawalan ke atas kira-kira 53 peratus Gaza, manakala rundingan lanjut dijadualkan bagi menentukan aspek keselamatan, pentadbiran dan pembinaan semula wilayah tersebut.
Perjanjian itu turut menyatakan bahawa rakyat Palestin tidak akan dipindahkan secara paksa dari Gaza dan mereka yang meninggalkan wilayah itu secara sukarela akan mengekalkan hak untuk kembali.
Pelan tersebut membayangkan garisan kuning sebagai langkah sementara sementara menunggu penyelesaian politik melalui rundingan.
TETAPI lihatlah apa yang berlaku, Israel sama sekali tidak mematuhi satu pun syarat perjanjian gencatan senjata. Mereka terus bermaharajalela memusnahkan Gaza dan menghancurkan kehidupan rakyat Palestin.
Tindakan Israel itu membuktikan bagaimana mereka dengan mudah ‘memperbodohkan’ pemimpin-pemimpin negara Islam khususnya di Asia Barat dengan bantuan Trump untuk mempercayai pelan damai dan gencatan senjata.
Tambahan pula ada antara mereka lebih mementingkan hubungan diplomatik dan ekonomi dengan AS dan Israel sehingga membiarkan Gaza bagaikan ‘barang gadaian’!
Pelan damai sudah bertukar menjadi pelan penaklukan manakala gencatan senjata sudah bertukar menjadi lesen untuk membunuh. Apakah negara Islam bertindak? Tidak ada ada-apa semua hanya tahu mengecam sahaja, tiada apa-apa tindakan konkrit untuk memberi tekanan kepada Israel.
Bagaimanapun sekarang sudah terlambat. Sepatutnya sejak awal lagi mereka membantah pelan damai dan gencatan senjata tersebut. Ia kerana pelan damai itu diakui oleh Trump bahawa ia dibuat selepas mengadakan perbincangan dengan Netanyahu.
Kalau sudah berunding dengan Netanyahu itu, apakah mungkin ia akan memberi kebaikan kepada rakyat Palestin? Hanya mereka yang jahil sahaja percaya bahawa Israel akan mematuhi perjanjian gencatan senjata dan pelan damai.
Sama-samalah kita saksikan adegan seterusnya apa yang akan terjadi di Gaza…jangan lupa pemimpin-pemimpin negara Islam ‘ada saham’ atas kejayaan Zioni di situ..TAHNIAH!


