ROKET New Glenn yang dibangunkan Blue Origin meletup semasa ujian di landasan pelancaran di Cape Canaveral, Florida, Khamis lalu, dan tiada kecederaan dilaporkan akibat kejadian itu.
“Kami mengalami anomali semasa ujian api panas hari ini,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan ringkas yang disiarkan di X.
Video kejadian itu menunjukkan asap muncul dari bawah roket setinggi 98 meter sebelum terbakar sepenuhnya.
Letupan itu merupakan kegagalan terbaharu bagi syarikat penerokaan angkasa lepas milik bilionair Jeff Bezos, susulan roket New Glenn merupakan teras kepada cita-cita angkasa lepas syarikat itu.
“Masih terlalu awal untuk mengetahui punca utama, tetapi kami sudah berusaha untuk mencarinya. Hari yang sangat sukar, tetapi kami akan membina semula apa sahaja yang perlu dibina semula dan kembali terbang. Ia berbaloi,” kata Bezos di X sejurus selepas letupan itu.

Elon Musk, yang mengasaskan syarikat pesaing Blue Origin, SpaceX, mengucapkan takziah dan menyifatkan kemalangan itu sebagai tragedi malang.
Ahli Kongres Florida, Mike Haridopolos, yang daerahnya merangkumi Cape Canaveral, dalam satu kenyataan di X berkata beliau sudah berhubung dengan Pentadbir Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA), Jared Isaacman, mengenai letupan itu.
“Kami akan bekerjasama dengan rakan kongsi kami untuk menyokong siasatan menyeluruh terhadap anomali ini, menilai impak misi jangka pendek dan kembali melancarkan roket,” tulis Isaacman di X.


