ISC seru golongan dewasa jaga keselamatan kanak-kanak di alam maya

 PENGERUSI Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian (OSC) Tan Sri Hasnah Mohammed Hashim menyeru semua golongan dewasa yang dipertanggungjawabkan menjaga kanak-kanak supaya memikul tanggungjawab bersama dalam memastikan keselamatan serta kesejahteraan mereka di alam maya.

Beliau berkata tanggungjawab melindungi kanak-kanak tidak seharusnya dipikul ibu bapa semata-mata, sebaliknya turut melibatkan guru, pengasuh dan ahli keluarga termasuk ibu saudara serta bapa saudara, selain masyarakat secara keseluruhan.

“Saya fikir semua orang dewasa perlu bertanggungjawab, termasuk mereka yang menjaga kanak-kanak seperti pengasuh, ibu bapa, ibu saudara dan bapa saudara.

“Maksudnya, semua rakyat Malaysia perlu memainkan peranan apabila membabitkan kanak-kanak bagi memastikan kepentingan mereka sentiasa terpelihara dan tidak diambil kesempatan, selain memastikan keselamatan fizikal serta mental mereka terjaga,” katanya kepada pemberita dalam satu wawancara baru-baru ini, lapor Bernama.

Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan kesedaran awam dan tanggungjawab kolektif dalam melindungi kanak-kanak daripada eksploitasi, penderaan serta kandungan berbahaya dalam talian, selain pengabaian dan bentuk layanan buruk lain.

Mengulas risiko yang dihadapi kanak-kanak di alam maya, Hasnah berkata ibu bapa dan penjaga sah perlu memainkan peranan lebih aktif dalam memantau aktiviti dalam talian anak-anak mereka, terutama ketika golongan itu semakin celik digital pada usia muda.

“Kanak-kanak berusia sembilan tahun hari ini mungkin lebih mahir daripada remaja. Dengan pelbagai risiko di media sosial, ibu bapa atau penjaga sah perlu memantau dan lebih peka terhadap apa yang dilihat oleh anak-anak mereka,” kata bekas Hakim Besar Malaya itu.

Beliau memberi amaran bahawa kandungan dalam talian yang kelihatan tidak berbahaya juga boleh mendatangkan risiko kepada kanak-kanak, termasuk pendedahan kepada pemangsa seksual, penipuan dan bahan tidak sesuai yang menyamar sebagai kandungan mesra kanak-kanak.

“Mungkin kanak-kanak menyangka ia Miss Rachel (pendidik dan YouTuber), tetapi sebenarnya bukan. Ia mungkin seseorang yang menyerupai Miss Rachel,” katanya.

Hasnah turut melahirkan kebimbangan terhadap tindakan segelintir ibu bapa yang berkongsi secara berlebihan gambar dan video anak-anak di media sosial kerana ramai mungkin tidak memahami risiko serta implikasi jangka panjang.

Beliau berkata jawatankuasa itu akan terus meneliti pendekatan yang dilaksanakan di negara lain sambil memastikan sebarang syor yang dikemukakan bersesuaian dengan persekitaran sosial dan perundangan Malaysia.

Katanya OSC yang bertindak sebagai badan berkecuali di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 (ONSA) akan mencadangkan langkah dan garis panduan sewajarnya kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi memperkukuh keselamatan dalam talian serta akauntabiliti platform digital.

“Kami ialah entiti berkecuali bagi memastikan penyedia platform bertanggungjawab dan pada masa sama menyediakan garis panduan kepada pengguna pada masa depan,” katanya.

Hasnah berkata usaha meningkatkan kesedaran juga perlu bergerak melangkaui bahan bercetak konvensional dengan memberi tumpuan kepada pendekatan visual dan digital seperti podcast serta video bagi menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan kepada ibu bapa dan masyarakat.

“Mungkin perlu ada lebih banyak podcast berkaitan kesedaran keselamatan kanak-kanak kerana untuk memahami sesuatu isu, orang ramai perlu menonton dan mendengar. Saya fikir masih ramai yang belum memahami risiko yang wujud,” katanya.

ONSA yang mula berkuat kuasa pada 1 Januari 2026 bertujuan mewujudkan persekitaran internet lebih selamat khususnya kepada kanak-kanak dan keluarga menerusi penetapan tanggungjawab jelas terhadap penyedia platform dalam talian — bukan sahaja untuk menurunkan kandungan berbahaya selepas ia tular, malah mengesan, mencegah dan bertindak balas dengan lebih pantas terhadap kandungan sedemikian.

Seiring pelaksanaannya, dua kod baharu di bawah ONSA 2025 iaitu Kod Perlindungan Kanak-Kanak (CPC) dan Kod Pengurangan Risiko (RMC) akan berkuat kuasa mulai 1 Jun ini, yang mewajibkan platform digital mengambil tindakan lebih tegas terhadap kandungan berbahaya serta memperkukuh perlindungan kanak-kanak di alam maya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img