PM ucap tahniah TH atas pengiktirafan pengurusan haji bertaraf dunia

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim merakamkan ucapan tahniah kepada Lembaga Tabung Haji (TH) dan Amal by Malaysia Airlines selepas kedua-duanya menerima pengiktirafan berprestij daripada Arab Saudi atas kecemerlangan pengurusan jemaah haji Malaysia.

Menerusi hantaran di Facebook hari ini, beliau berkata pengiktirafan yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi itu membuktikan kecemerlangan Malaysia dalam aspek pengurusan serta kebajikan jemaah haji.

“Alhamdulillah, tahniah kepada TH atas pengiktirafan berprestij yang diterima daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, sekali gus mengiktiraf kecemerlangan Malaysia dalam pengurusan dan kebajikan jemaah haji.

“Kejayaan ini mencerminkan komitmen, profesionalisme dan dedikasi seluruh warga TH serta petugas haji yang sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik dalam mengurus jemaah haji Malaysia,” katanya dalam hantaran tersebut.

Sebelum ini, media melaporkan kejayaan negara sebagai penanda aras pengurusan haji dunia apabila TH berjaya mempertahankan Anugerah Labbaitom buat tahun kelima berturut-turut.

Dalam pada itu, Anwar turut mengucapkan tahniah kepada Amal by Malaysia Airlines yang menerima anugerah Misk Al-Khitam sebagai penghargaan terhadap kecemerlangan dalam menguruskan prosedur ketibaan jemaah haji bagi musim Haji 1447 Hijrah.

Beliau berkata, pengiktirafan itu membuktikan keupayaan dan kecekapan institusi serta syarikat Malaysia di peringkat antarabangsa.

“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk terus memperkukuh mutu perkhidmatan serta mengharumkan nama negara dalam usaha melayani para tetamu Allah SWT,” ujarnya.

IKUTI SALURAN MEDIA SOSIAL RASMI KAMI

FB : Utusan Melayu Plus
IG: Utusan Melayu Plus
TikTok: @utusanmelayuplusofficial
Threads: @utusanmelayuplus
Whatapps Channel: Utusan Melayu Plus

Terkini

Related articles

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

spot_img