POLIS mengesahkan Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah memiliki lesen senjata api yang sah bagi senapang patah digunakan untuk menembak seekor lembu korban yang mengamuk dalam satu program ibadah korban di Kuala Perlis, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, pengesahan itu diperoleh hasil semakan dilakukan Bahagian Perlesenan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kangar.
Bagaimanapun, beliau berkata, polis telah merampas selaras senapang patah bersama sembilan butir peluru jenis buckshot bagi membantu siasatan lanjut.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada orang awam pada jam 4.51 petang semalam berhubung video tular berdurasi 38 saat yang memaparkan kejadian di Dataran Lok 9, Kuala Perlis.
“Bertindak atas maklumat, polis sudah merakam keterangan Menteri Besar dan berdasarkan keterangan tersebut, tindakan (melepaskan tembakan) itu diambil kerana lembu berkenaan mengamuk dan mengancam petugas serta orang awam di Program Ibadah Korban Perdana Kuala Perlis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Yusharifuddin berkata, kes berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 39 Akta Senjata 1960 kerana melepaskan tembakan di tempat awam.
Katanya, jika disabitkan kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi atau mengeluarkan kenyataan yang boleh mengundang provokasi terhadap mana-mana pihak,” katanya.


